SELAMAT DATANG KE TAPAK WEB

Badan Seniman Paksi Rakyat (PAKSI)

Hubungi Kami:

Emel: paksi2u@gmail.com

Telefon: xxx.xxxxxxx

Blog: http://www.paksiblog.org

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

MAKLUMAT LATAR PENGURUSAN PERLEMBAGAAN PROGRAM KEAHLIAN
LAPORAN DARI MEDIA BERITA (ARKIB) ARTIKEL  PELBAGAI

------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

 

BERITA TERKINI

25 Disember 2008
Pertemuan Dengan Penulis dan Aktivis Seni Selangor:
Berjaya dilaksanakan di Shah Alam dengan kehadiran 35 aktivis Paksi dan orang penulis Selangor.  Tiga kertas kerja telah dibentangkan dan dibincang.  Kehadiran khas oleh YB Rudziah Ismail, Ahli Exco Kebudayaan.
 
PROGRAM AKAN DATANG
14-15
Mac
2009
Seminar Seni Persembahan Kelantan di Kota Bharu.
(Program masih di peringkat cadangan).

LAPORAN TERKINI
Pandangan Nik Aziz terhadap penyanyi wanita.

Oleh: RAZALI ENDUN
Isu sama ada penyanyi wanita Islam dibenarkan bernyanyi di hadapan khalayak ramai mengikut prespektif Islam telah dibangkitkan oleh Dr. Hamzah Jaafar, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang baru-baru ini. Pandangan Dr. Hamzah yang berpandukan kepada pendapat ilmuan Islam tersohor, Dr. Yusof Qardawi dan Dr. Zaidan yang membenarkan penyanyi wanita Islam bernyanyi di hadapan khalayak, dengan syarat mereka menutup aurat telah menarik minat Persatuan Seniman Paksi Rakyat (Paksi) untuk mendapatkan pandangan Tuan Guru Datuk Nik Abd. Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan.

Paksi berpendapat pandangan Dr. Hamzah semacam membawa pemikiran aliran baru dalam Pas dari aspek kesenian yang melibatkan suara wanita. Pandangan beliau agak liberal dan mungkin akan menarik minat golongan remaja kepada Pas, terutama penyanyi wanita yang mencari rezeki dengan bernyanyi. Dalam pada menyokong pandangan beliau, Paksi berpendapat ianya bercanggah dengan pandangan Tuan Guru Nik Abd. Aziz dan juga Akta Hiburan dan Persembahan Negeri Kelantan.

Maka dengan itu baru-baru ini, rombongan Paksi yang terdiri daripada Hasni Abas, Faizal Chal, Razali Endun, Prof Dr. Zainal Abd. Latif dan sdra Nordin BS, diketuai oleh sdra. Dinsman bersama-sama dengan Dr. Hamzah Jaafar telah berkunjung ke Rumah Kelantan di Kuala Lumpur, untuk mendapatkan pandangan Tuan Guru dari aspek Islam dan dasar-dasar Pas tentang pandangan Dr. Hamzah itu.

Tuan Guru memberitahu ada dua perkara utama yang harus diberi perhatian ketika kita membicarakan isu ini. Pertama ialah suara wanita itu sendiri, dan kedua seni kata atau lirik lagu itu. Beliau masih memegang kepada pendirian bahawa suara wanita adalah aurat kerana apabila mereka melagukan sesebuah lagu, dibimbangi akan menimbulkan keghairahan yang mengasyikkan golongan lelaki. Dalam sesebuah lagu yang didendangkan, suara menjadi elemen terpenting perhatian orang ramai, bukan liriknya. Apa lagi kalau dinyanyikan dengan gaya dan lenggok mengasyikkan dan tidak menutup aurat pula. Dinyanyikan pula di hadapan khalayak ramai yang bercampur gaul antara lelaki dan perempuan.

Sebab itulah beliau tidak bersetuju menghantar Qariah dari Kelantan ke musabaqah Al-Quran kerana pada peraduan itu yang menjadi keutamaam ialah taranum atau lagu, bukan tertel. Apabila lagu menjadi keutamaan maka dengan itu suara wanita menjadi aurat. Katanya, wanita masih boleh membaca Al-Quran mengikut tertel, bukan melagukannya. “Saya menggalakkan wanita membaca dan belajar dalam perkara tertel ini,” sambungnya.

Liriknya pula kalau tidak menjurus kepada nasihat menasihati dan langsung tidak ada elemen membina masyarakat kearah ketakwaan, maka nyanyian itu menjadi sia-sia. Katanya, beliau amat terkesan dengan lagu “Selimut Putih’ nyanyian penyanyi wanita Al-Suraya, bukan kerana suaranya, tetapi kerana seni kata lagu itu.

Ditanya apakah wanita dibolehkan membaca puisi di hadapan khalayak, beliau berpendapat itu dibolehkan kerana elemen terpenting dalam pembacaan puisi ialah diksi atau ungkapan kata serta pemikiran penyajaknya, bukan suara yang menjadi tumpuan. Malah untuk bersyair dan bergurindam juga dibolehkan.

Beliau memberitahu bahawa selama 18 tahun beliau telah cuba membina satu konsep kesenian dan kebudayaan yang tidak lari dari ajaran Islam. “Alahamdulillah! Sekarang, masyarakat Islam di Kelantan sudah dapat menerimanya,” ujarnya dengan nada puas dan bersyukur.

“Persembahan kebudayaan seperti wayang kulit, mak yong, main Petri dan yang bercanggah dengan Islam, kita minta dipinda dan disesuaikan, bukan diharamkan,” tekannya lagi. Konsep ini bukan sahaja mula diterima oleh masyarakt Islam di Kelantan, tetapi oleh masyarakat bukan Islam. “Sekarang ini saya banyak mendapat undangan untuk berceramah dan menghadiri majlis-majlis kaum Siam (Buddha), Hindu malah oleh sesetangah pimpinan tokong China,” ujarnya. Ini menunjukkan bahawa dasar yang dibawanya berlandaskan Islam tidak dibantah oleh kaum dan penganut agama lain.

Beliau menggunakan analogi air takungan di kolam akan menjadi kotor sekiranya saluran atau saliran air yang mengalir ke kolam itu tidak dibersihkan. Kalau kotor longkang dan saliran itu, air yang bersih mengalir itupun akan turut menjadi kotor.dan akan mengotorkan air di dalam kolam itu.

“Kata doktor, jantung saya masih sihat, tetapi yang menjadi masalah saluran ke jantung itu tersumbat,” sambungnya bagi menguatkan analoginya.

Katanya lagi, apa yang beliau cuba buat ialah membersihkan saluran-saluran ini dari diselaputi kekotoran itu. Sebab itu Allah menegah mendekati zina. Allah cuba mencegah manusia daripada berzina dengan memberi amaran jangan mendekati zina. “Ajaran Allah inilah saya cuba pupuk dan tanamkan semoga dapat kita hindari daripada kekotoran yang semakin kalut dalam kemelut sosial yang semakin parah ini.”

Ditanya bahawa konsep ini akan menutup pintu rezeki penyanyi wanita yang bergantung hidup dengan menyanyi beliau menjawab; “Banyak bidang lain wanita boleh mencari rezeki. Kaum wanita boleh berniaga dan berkerja asalkan pendapatan yang diterimanya halal. Di Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu ramai peniaga di situ adalah wanita. Allah masih membuka pintu rezeki kalau kita mahu berusaha.”

Pertemuan selama lebih kurang satu jam itu sangat memberi manfaat kepada rombongan Paksi. Tuan Guru memang faham tentang perkembangan kesenian tanah air. Beliau pernah berlakon drama ketika alam persekolahan lagi. Malah beliau pernah mempelajari pembikinan dan penggambaran filem ketika zaman mudanya. Keintelektualan pemikiran beliau jelas terserlah daripada tutur kata, falsafah dan analogi yang dikemukakan bagi menguatkan hujahnya dalam pertemuan itu.

Meskipun pandangan beliau mungkin tidak dipersetujui oleh banyak pihak, akan tetapi niatnya untuk membentuk masyarakat madani melalui kesenian Islam harus mendapat dukungan dan sokongan. Ianya perlukan iltizam yang kuat bukan sahaja daripada orang politik tetapi juga golongan budayawan.

ARTIKELTERKINI

Dinsman (Artikel 34)

‘Cultural will’ dan ‘Artistic will’

Artikel mengenai budayawan merintih (Hrkh 14 Nov) mendapat respon yang kira-kira memberangsangkan, termasuk dari kawan lama yang sudah lama tak berhubung. Ramai yang menyokong, tetapi ada juga yang mempersoalkan idea dan pemikiran yang dikemukakan dalam artikel itu.

 “Bukan merintih,” kata kawan lama saya, bekas editor majalah yang berpengalaman lebih 20 tahun bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). “Mereka itu sekadar menyatakan apa yang benar berlaku. Mereka menyuarakan pandangan mereka terhadap realiti yang berlaku hari ini, dimana kebudayaan dan kesenian semakin dipinggirkan.”

Dia berhujah kepada saya melalui trelefon: “Bahasa kebangsaan kita, bahasa Melayu, yang kita perjuangkan selama berpuluh-puluh tahun, dan akhirnya mencapai kejayaan menjadi bahasa ilmu yang digunakan hingga ke peringkat universiti, tiba-tiba dipancung lehernya oleh seorang algojo politik yang tidak ada kesedaran dan kecintaan terhadap tamadun Melayu.

 “Kawan-kawan kita itu menyuarakan bantahan, kerana mereka bukan orang politik. Mereka orang budaya, orang sastera. Mereka tidak ada kuasa untuk menghalang pihak kerajaan yang menukar penggunaan bahasa Melayu ke bahasa Inggeris itu. Yang ada kuasa ialah Perdana Menteri, atau jemaah menteri. Kita hanya boleh menyatakan bantahan.”

 “Itu pun bagi yang berani untuk bersuara,” katanya lagi. “Bukan semua orang berani bersuara. Ramai kawan-kawan kita yang terus diam membisu saja. Tak berani hendak bersuara pun. Din sepatutnya gembira kerana mereka berani bersuara begitu. Sekurang-kurangnya mereka menyatakan bantahan.”

 Mereka itu bukan merintih. Mereka menyatakan bantahan. Itulah mesej yang hendak disampaikan oleh kawan saya itu, yang kini memilih Perlis sebagai daerah hidupnya selepas pencen.

 Memang dia tidak hadir dalam beberapa majlis yang saya maksudkan, dimana saya mendengar ‘rintihan-rintihan’ yang disuarakan oleh para budayawan dan sasterawan kita. Maka tak mengapalah. Dia ingin menganggapnya sebagai pernyataan membantah. Namun saya yang sudah banyak kali mendengar “bantahan-bantahan” yang disampaikan dalam nada dan gaya “merintih” itu, tetap berpendapat bahawa adalah lebih baik kita berhenti membantah secara merintih begitu.

 Saya memang gembira kalau mereka itu berani menyuarakan bantahan terhadap sesuatu yang patut dibantah. Tetapi dalam konteks yang saya bicarakan ini, maksud saya bukanlah supaya para budayawan dan sasterawan kita sekadar berani menyatakan bantahan. Maksud saya lebih daripada itu.

 Kita membantah, tetapi kita masih percaya kepada kuasa “political will”, dan kita tidak percaya malah tidak pernah berfikir pun mengenai “cultural will” dan “artistic will”. Itulah makanya bantahan kita menjadi rintihan. Kita mengharapkan kepada orang-orang politik untuk bertindak bagi pihak kita, dan kita menyalahkan mereka tidak ada ‘political will’, sedangkan kita sendiri tidak mahu melihat kepada diri kita dan apatah lagi menyalahkan diri kita, kerana tidak ada ‘cultural and artistic will’.

 Inilah yang perlu disedari oleh para budayawan dan seniman. Jangan hanya mengharap pada orang politik untuk memperjuangkan kepentingan seni dan budaya. Kita sendirilah – orang yang mempunyai kesedaran seni dan budaya, orang yang mempunyai kecintaan terhadap seni dan budaya – yang mesti memperjuangkannya.

Jangan hanya percaya kepada kuasa yang ada pada ‘political will’. Tetapi percayalah juga kepada kuasa yang ada pada ‘cultural will’ dan ‘artistic will’.

 “Apa maksud kau cultural will dan artistic will juga ada kuasa seperti political will?” Beberapa orang kawan bertanya, apabila saya berhujah dan meminta mereka supaya menghidupkan cultural will dan artistic will dalam diri mereka.

 Saya berikan beberapa contoh mudah. Yang berjuang hingga bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar di sekolah-sekolah kebangsaan dan kemudiannya hingga menjadi bahasa ilmu di universiti-universiti, siapa, kalau bukan orang budaya? Yang berjuang hingga tertubuhnya Universiti Kebangsaan Malaysia dulu, siapa, kalau bukan orang budaya? Yang berjuang hingga tertubuhnya Dewan Bahasa dan Pustaka dulu, siapa, kalau bukan orang budaya?

 Dan akhirnya, yang berjuang hingga terbinanya Panggung Negara yang dinamakan Istana Budaya itu sebenarnya siapa, kalau bukan orang-orang seni dan budaya?

 Tetapi sedihnya, selepas tenaga-tenaga seniman dan budayawan Malaysia digemblengkan dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1971, suara mereka jadi semakin lemah dan semakin lemah, hingga sekarang ini bertukar terus menjadi rintihan demi rintihan, yang sesekali terasa agak memalukan.

 Bahasa Melayu yang pernah didaulatkan hasil daripada desakan cultural will para budayawan Melayu itu, kini dibiarkan saja ia dimusnahkan oleh kemahuan diktatorial atau political will tokoh-tokoh politik Umno yang kehilangan identiti.

 Dan “Panggung Negara” yang dibina sebagai Istana Budaya, hasil daripada tuntutan cultural and artistic will para seniman dan budayawan Melayu era 70-an dan 80-an itu, kini dibiarkan saja ia ditukar menjadi pusat hiburan elitis oleh kegelojohan nafsu dan political will tokoh-tokoh politik Umno/BN yang jahil budaya.

 Sebuah jenayah kesenian sedang berlaku dengan lahapnya di situ. Definisi seni teater sendiri sedang diubah, dan teater Melayu kini sedang dibunuh secara diam-diam, hingga Syed Alwi seorang Seniman Negara baru-baru ini mengisytiharkan bahawa “kita tidak ada institusi teater di Malaysia”.

 Demikianlah sedihnya, apabila di sebuah negara sudah tidak ada lagi cultural will dan artistic will. Kecualilah wujud kesedaran dan penghayatan agama yang kuat di kalangan masyarakat-nya. Kalau tidak, saksikanlah bagaimana sebuah masyarakat yang kehilangan identiti dan tiada harga diri. Krisis demi krisis tidak akan dapat dielakkan lagi.

 Apabila itu terjadi, yang bersalah bukanlah orang-orang politik yang tidak ada political will. Tetapi yang bersalah ialah orang-orang budaya yang tidak ada cultural will.

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 0136362408)